Showing posts with label Design. Show all posts
Showing posts with label Design. Show all posts

Tuesday, March 7, 2017

TIPS MENGHASILKAN DESIGN YANG MENARIK



Assalamualaikum dan hi! 

Entry kali ini akan membincangkan bagaimana untuk anda menghasilkan satu persembahan atau design yang menarik dari segala aspek. Pernah tak kadang-kadang anda rasa buntu bila nak menghasilkan sesuatu seperti poster, banner, bunting atau brochure? Sometimes anda dah ada pilihan warna yang anda suka, tetapi masalah lain pula ialah anda tidak tahu nak masukkan dengan warna apa bagi nampak lagi sesuai. Lepastu bila dah ada warna yang sesuai, anda tak tahu macam mana nak susun segala maklumat dalam poster tu supaya dapat menarik orang yang melihat atau membaca. Saya akan cuba untuk huraikan segala masalah yang anda hadapi di dalam entry ini.

Sebelum saya mula menaip dengan lebih lanjut lagi, izinkan saya membuat penafian bahawa saya bukannya seorang pelajar dalam bidang grafik, teknologi atau yang sewaktu dengannya. Saya hanya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang grafik suatu masa dahulu. Pernah bercita-cita menjadi seorang pereka grafik tetapi saya lupakan impian tersebut bila saya percaya menjadi pereka grafik ini bukan kerja yang mudah. Saya belajar menggunakan perisan Adobe Photoshop sejak di sekolah menengah lagi. Tidak mampu untuk pergi kelas-kelas photoshop yang kosnya berjuta, saya belajar dan meneroka bidang ini dengan sendiri. (kau ingat orang kisah ke apa kau tulis panjang-panjang pasal kau ni Syed oi! hahaha)

Dalam bidang mereka grafik ini kita ada satu konsep yang kita gunakan untuk menjadikan hasil yang kita buat tu presentable dan menarik di mata orang lain. Konsep yang digunakan dalam penghasilan poster, bunting dan sebagainya ini dipanggil sebagai CASPER.

C - Contrast
A - Alignment 
S - Simplicity
P - Proximity
E - Emphasis
- Repetition
Contrast
Contrast ialah kontra atau perbezaan yang ada di dalam hasil kerja kita. Pada pendapat saya kontra ini merupakan salah satu elemen yang paling penting dalam setiap design yang kita hendak hasilkan. Cara untuk anda apply elemen kontra ini ialah dengan mengetahui warna-warna yang sesuai untuk dipadankan di dalam karya anda. Penggunaan warna yang kontra mampu membuat karya anda kelihatan lebih menarik. Lihat contoh di bawah,

Konsep Kontra di Dalam Design Anda

Gambar bernombor 1 menunjukkan aplikasi kontra yang baik. Biru merupakan warna yang gelap, maka warna yang gelap harus dipadankan dengan warna yang lebih cerah seperti warna putih. Dengan itu, ia menaikkan perkataan yang hendak saya fokuskan di dalam gambar nombor 1. Bagi gambar yang bernombor 2, saya cuba untuk gabungkan warna biru gelap dan juga merah. Nampak tak gambar nombor 2 lebih tenggelam dan langsung tidak menarik untuk dibaca? Itu menunjukkan bahawa warna yang anda pilih tidak bersesuaian dan anda perlu tukar warna yang lebih sesuai.

Elemen Kontra Dalam Design

Warna background sesuatu gambar dan juga font memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan design anda. Jika warna background yang anda gunakan lebih gelap, maka warna font yang anda pilih perlu lebih terang supaya apa yang anda ingin sampaikan lebih mudah dibaca dan diinterpretasi. Sekaligus, anda akan menarik orang untuk membaca maklumat yang anda ingin sampaikan.
Alignment
Alignment ni ialah susunan setiap element yang ada di dalam anda punya karya. Pastikan setiap maklumat yang anda masukkan disusun dengan baik agar tidak kelihatan janggal. Pentingnya keseimbangan di dalam karya anda ialah untuk karya yang lebih kemas dan menandakan bahawa ia bukanlah satu kerja yang "cincai". Saya akui, sebelum ini, saya juga ada masalah dalam menyusun segala maklumat di dalam poster kerana kadang-kadang maklumat yang diberikan terlampau banyak untuk saya letakkan di dalam satu gambar. Lihat contoh di bawah,

Elemen Align Dalam Grafik


Ini contoh hasil kerja saya tahun 2015 rasanya. Nampak tak cara saya susun setiap details di dalam gambar ni? Saya ada masalah sikit kalau nak align kan kita punya details and semua benda dekat dalam gambar. Sebab apa? Sebab saya buat design ni untuk orang, bila orang lain yang suruh buat, banyak pula dia suruh letak itu ini. Sekaligus rasa macam tak berkenan dengan design sendiri. Especially part font tu. penat nak fikir macam mana nak alignkan bagi sama. Walaupun saya tak berapa berkenan, tetapi saya terpaksa juga lakukan sebab "client" yang minta kan. (sebab tu saya rasa saya tak boleh jadi designer, sebab saya ada taste sendiri haha)
Simplicity 
Kebanyakan di antara kita, ramai yang tak faham konsep simplicity ni macam mana terutamanya mereka yang bukan seorang pereka grafik. Simplicity ni bermaksud sesuatu grafik yang kita hendak hasilkan itu haruslah simple dan mudah dibaca. Dari segi font, pemilihan gambar semua tu memainkan peranan dalam hasil kerja kita. Terlampau banyak informasi yang ada dalam grafik pun menjadikan sesuatu gambar itu serabut dan confusing. Pembaca ni bila dia tengok gambar, dia tak berminat untuk membaca dengan banyak. Sebab itu perlunya kita untuk hasilkan sesuatu grafik yang tidak begitu sarat dan simple.

Contoh Design Bunting

Dua bunting di atas ni merupakan hasil kerja saya pada tahun 2015. Saya suka kedua-dua design tersebut kerana sangat simple tetapi nampak dengan jelas apa yang saya cuba sampaikan. Disebabkan bunting tersebut lebih kepada rasuah. saya cuba tekankan rasuah itu dengan penggunaan font yang lebih tegas. Akaun instagram dan juga facebook tampak lebih menyerlah walaupun hanya menggunakan latar belakang yang simple. Terlampau banyak item di dalam background menjejaskan grafik anda dan mungkin menganggu perhatian pembaca. Font yang digunakan di dalam grafik juga pastikan tidak lebih dari 3 jenis. 2 would be enough. 
Proximity
Seterusnya ialah proximity. Ia merujuk kepada kesinambungan item-item yang ada di dalam sesebuah gambar itu. Pastikan setiap item yang anda masukkan di dalam gambar mempunyai kaitan di antara satu sama lain. Contohnya jika anda hendak menghasilkan poster mengenai produk kecantikan, anda haruslah meletakkan gambar-gambar seperti lipstick, mascara, eye shadow and some related beauty products. Takkanlah nak buat poster kecantikan tetiba letak peti ais? nampak tak ia takda kaitan dan tak kena mengena langsung dengan produk yang anda iklankan.

Lihat contoh di bawah,

Disebalik Header Blog Seorang Syed

Disebabkan nama blog saya ialah "Catatan Seorang Syed", saya memilih untuk memasukkan elemen seperti tab, pensel, cermin mata dan juga notepad di dalam header blog saya. Ia merupakan simbolik kepada "catatan". Manakala, gambar epal dan air di dalam cawan merupakan simbolik kepada "santai". Kandungan yang ada di dalam blog  saya ini disampaikan dengan cara yang santai. Manakala "paper-plane" yang ada di sebelah nama blog saya simbolik kepada perjalanan hidup saya. Apabila elemen-elemen ini disatukan dalam satu header ia memberi identiti yang lebih kuat dan makna yang lebih jelas bagi saya. Bukannya main pilih sahaja nak letak gambar apa hehe.
Emphasis 
Seterusnya ialah elemen Emphasis atau penekanan. Penekanan ini boleh dilakukan dalam banyak cara.  Benda ni tak perlukan anda untuk gunakan terlampau banyak elemen lain di dalam satu grafik. Sebab apa? Nanti orang yang akan lihat grafik yang anda hasilkan akan terganggu dengan elemen lain yang anda persembahkan. 

Cara Menghasilkan Design Yang Menarik

Bila tengok gambar di atas ni apa interpretasi anda? Ya, mestilah mengenai pembuangan sampah. Disebabkan saya hendak menyentuh isu pembuangan sampah, saya cuba mencari gambar yang terbaik bagi menggambarkan apa yang hendak saya katakan. Maka, pembaca telah mendapat idea yang hendak anda sampaikan hanya dengan melihat gambar walaupun belum membaca secara lebih terperinci. Ini merupakan satu contoh penekanan melalui gambar, ada yang menekankan melalui warna font dan sebagainya. Ia bergantung kepada pereka grafik itu sendiri.
Repetition 
Repetition atau pengulangan merupakan aspek yang terakhir di dalam konsep CASPER. Ia merujuk kepada pengulangan item-item yang ada di dalam grafik anda. Saya pecahkan pengulangan ini kepada tiga bahagian,

1) Warna
2) Jenis font
3) Bentuk dan gambar

Dari segi warna, seperti yang saya telah ingatkan di atas, pastikan anda menggunakan warna yang tidak terlalu pelbagai. Kalau warna yang digunakan  tiada kesinambungan dan tak konsisten, ia akan menjejaskan grafik yang anda ingin hasilkan. Selain itu, pengulangan jenis font yang anda gunakan juga merupakan satu elemen yang harus dititikberatkan. Jangan menggunakan terlampau banyak font yang datangnya dari "family" yang berlainan. Terlampau banyak jenis font juga mencacatkan pemandangan si pembaca. Akhir sekali, bentuk-bentuk dan gambar yang anda gunakan di dalam grafik haruslah disamakan. Janganlah sekejap ada bentuk hati, petak, diamond, payung, sampan dan macam-macam lagi. Nampak sangat tidak sesuai dan menyakitkan mata pembaca.

Sekian sahaja perkongsian saya hari ini mengenai cara menghasilkan design yang menarik dengan menggunakan konsep CASPER. Saya harap melalui perkongsian ini anda memperoleh sedikit sebanyak ilmu yang berguna untuk anda hasilkan grafik anda sendiri pada masa akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca :)